Usaha lima tahun membuahkan hasil

0
4

KOTA SAMARAHAN: Selepas lima tahun projek tanaman pokok yang diusahakan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Takasago Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) sejak 2018, ia kini telah membuahkan hasil.

Sekitar 20,000 pokok telah berjaya ditanam melibatkan pelbagai spesies tempatan termasuk pokok belian.

Pensyarah Fakulti Sains Sumber dan Teknologi (FRST) UNIMAS, Dr Effendi Wasli berkata hasilnya nampak ketara di bahagian depan pintu masuk utama kampus berkenaan yang kini sudah dipenuhi pokok.

“Ia merupakan salah satu pencapaian susulan daripada projek yang kita laksanakan sejak lima tahun lalu, terutama di bahagian depan pintu masuk utama.

“Kalau sebelum ini ia merupakan kawasan tanah lapang tetapi sekarang sudah dipenuhi dengan pokok-pokok yang kita tanam,” katanya.

Dr Effendi yang juga ketua projek itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program penanaman pokok di kampus UNIMAS di Kota Samarahan di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya proses penanaman memerlukan kajian terhadap kawasan dan struktur tanah yang sebelum ini terkesan daripada projek pembangunan kampus.

Justeru, keadaan tanah turut diambil kira dan dipertimbangkan sebelum penanaman pokok dilakukan di kawasan yang telah dipilih.

Setakat ini pihaknya tidak bercadang untuk menanam pokok lain selain spesies tempatan.

“Kita kita tanam sekarang ialah spesies tempatan, sebelum ini kita pernah tanam pokok buah-buahan tempatan seperti rambutan dan durian.

“Antara lain ialah pokok belian, engkabang jantung, gaharu dan kapur bukit.

“Namun untuk masa depan, kita akan cuba untuk kekalkan penanaman pokok-pokok tempatan seperti balak dan pokok buah,” ujarnya.

Projek ini melibatkan penyertaan lebih 600 pelajar sejak dimulakan pada 2018 yang diadakan secara berterusan sama ada dalam skala kecil mahupun besar.

Apa yang menarik katanya projek itu dirangka untuk para pelajar yang berkonsepkan ‘student centric’.

“Projek yang dibuat oleh pelajar untuk pelajar, maksudnya di sini mereka tidak menanam pokok semata-mata tetapi pada sama belajar tentang pokok.

“Malah terlibat dari proses semaian benih, menanam, menjaga dan memelihara,” jelasnya.