UNIMAS ke arah kampus rendah karbon

0
4
Dr Mohamad Kadim Suadi ketika bersama wakil dari JMA, dan Takasago ketika menyempurnakan proses penanaman pokok di UNIMAS di Kota Samarahan pada Sabtu

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) komited dalam usahanya untuk menjadikan intitusi pengajian tinggi itu sebagai kampus rendah karbon.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata ia selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak melaksanakan dasar ekonomi baharu menerusi perdagangan karbon di dunia.

Sehubungan itu, jalinan kerjasama UNIMAS dengan Takasago, Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) serta Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menerusi projek menanam pokok sejak 2018 disifatkan sebagai komitmen berterusan untuk mencapai hasrat itu.

“Dalam aspek perdagangan karbon atau ke arah mewujudkan kampus rendah karbon, usaha UNIMAS dan Takasago serta ageni berkaitan menerusi program ‘Educational Forest’ akan menymbang kepada inisiatif pengurangan karbon di kampus.

“Ia bersamaan dengan kira-kira 10,000 kenderaan yang akan mengurangkan sebanyak 50,000 tan karbon di udara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Tanam Pokok UNIMAS – Takasago di Kota Samarahan pada Sabtu.

Setakat ini kata Dr Kadim, UNIMAS telah menanam sebanyak 20,000 pokok dari pelbagai jenis dan spesies tempatan.

Malah katanya, program penanaman itu akan diperluaskan ke kawasan lain di dalam kampus seluas 220 ekar itu.

“Kita telah mengenal pasti bahagian ini dahulu, kemudian kita akan kembangkan ke bahagian di belakang kampus dan tempat lain kita akan wujudkan juga walaupun sekarang ini hasratnya adalah 20,000 pokok kita mungkin akan tanam lebih daripada itu, ia sudah dalam perancangan kita,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, projek tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menanam pokok semata-mata sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada para pelajar dari program Sains Tumbuhan belajar tentang perkara berkaitan jenis dan spesies pokok yang terdapat di Sarawak tanpa perlu pergi ke hutan.