Tolak fahaman ekstremis dari mana-mana pihak

0
10
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu menolak fahaman ekstremis daripada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan bagi mengeruhkan kestabilan politik di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, setiap lapisan rakyat negeri ini harus menyayangi Sarawak supaya terus aman dan sejahtera.

“Kita di Sarawak tiada masalah untuk berkahwin campur dan hidup bersama. Malah rumah ibadat pelbagai agama juga diwujudkan bagi membuktikan kita saling menghormati.

“Budaya ekstremis ibarat makhluk asing di Sarawak.

Undang-undang kita juga sudah cukup mantap, sesiapa yang melanggar akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sebahagian pihak yang menyuarakan rasa bimbang dan takut sekiranya Pas menguasai kerajaan.

Malah Adun Jemoreng turut yakin semua rakyat Sarawak akan menolak mana-mana fahaman ekstremis di negeri ini.

“Serah saja urusan pelantikan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong AlSultan Abdullah. Elak daripada memanaskan keadaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, Juanda berkata, semua pihak perlu melihat ke hadapan melibatkan kestabilan negara.

“Negara perlu bersatu agar tidak terjejas, ketepikan sementara perbalahan demi kekuatan negara kita.

Pilihan raya telah berakhir dan inilah masanya untuk bekerja. Bukan untuk berbalah. “Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Akhirnya sampai giliran beliau. Semoga negara kita terus maju jaya dalam peliharaan Allah,” jelasnya.