Tiga bank antarabangsa sambung semula operasi di Sarawak

0
16

KUCHING: Potensi yang terdapat di Sarawak menarik minat tiga bank antarabangsa untuk menyambung semula operasi mereka di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiga bank tersebut pernah membuka pejabat mereka di negeri ini sebelum mereka menghentikan operasi berikutan industri perkayuan jatuh sebelum ini.

“Kini mereka kembali ke Sarawak kerana potensi yang ada pada Sarawak menjelang 2030.

“Itu adalah keyakinan oleh institusi kewangan terhadap ekonomi kita dan dalam dasar ekonomi dan usaha kita untuk menambah nilai sumber kita yang tidak ada di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Jubli Platinum ke-70 Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI) di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta kenamaan yang lain.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menggesa SCCI untuk bersama pelabur tempatan dan asing serta institusi perbankan untuk menceburi sektor tenaga yang boleh diperbaharui.

“Institusi kewangan hari ini sanggup memberi pembiayaan selagi produk anda mematuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” jelasnya.

Katanya, beliau memberi bayangan bahawa Sarawak suatu hari nanti akan menghasilkan komposit sebagai bahan untuk menghasilkan komponen kapal terbang.

“Kita menghasilkan kapal terbang dan kapal terbang tersebut akan menggunakan bahan api penerbangan kita sendiri.

“Bermakna, setiap rantaian bekalan datang dari Sarawak. Ini visi saya. Saya berharap kita dapat bekerjasama untuk mencapai visi tersebut,” katanya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Usahawan Master dan Anugerah Keusahawanan Cemerlang kepada enam penerima.

Antara penerima adalah Datuk Chris Chung Soon Nam mewakili SSCI, Datuk Bobby Ting Sie Ching mewakili Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak, Dennis Chin Ching Chung mewakili Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuching, Lesley Luyoh Akah mewakili Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak dan Mejar (K) Datuk Ling Kiong Hua manakala Datuk Seri Dr Tay Chin Kin menerima Anugerah Keusahawanan Cemerlang.