Santiana Ramli dan Ameem berjaya mara ke pusingan akhir Konsert Getaran Jiwa

0
3
Santiana Ramli dan Ameem mara ke pusingan akhir Getaran Jiwa Jiwa yang bersiaran secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa malam tadi. 

 

KUCHING: Selepas berjaya mengutip lebih 62 markah, Santiana Ramli dan Ameem berjaya mara ke pusingan akhir Konsert Getaran Jiwa setelah menamatkan saingan sebagai dua peserta terbaik separuh akhir yang bersiaran secara langsung di Stadium MBKS, Bintawa malam tadi.

Pengurus Saluran TVS, Aizal Ibrahim berkata dua peserta itu masing-masing meraih 62.5 dan 62.3 markah.

Sementara itu, lima peserta yang tidak berjaya ialah Izwan Dahlan (49.2 markah), Nadhar Idruze (48.4 markah), Hasty (50.1 markah), Mady Spuan (50.6 markah) dan Faris Malek (44.0 markah).

Konsert minggu ini dimulakan dengan kejutan di mana dua peserta, Ameem dan Faris Malek diserap masuk melalui ‘GJ Kembali’, hasil undian online peminat mereka.

Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri profesional dan 30 peratus juri awam yang mengundi di atas talian menggunakan ‘Meter Jiwa’.

Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Dato Nash selaku Ketua Juri serta Norafizah Busman sebagai Juri Tetap dan Fauzi Marzuki selaku juri jemputan.

Turut merancakkan konsert minggu ini adalah penampilan Mas Idayu selaku Mami Panas yang turut memberikan komen mengenai persembahan para peserta.

Nyanyian lagu ‘Akai-Akai’ oleh Melissa Francis menutup tirai konsert Getaran Jiwa minggu ini.

Dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy, program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini bersiaran langsung selama 1 jam 45 minit bermula 8.45 malam untuk pusingan separuh akhir.

Sebelum itu, pada jam 7.30 malam, kapsul Debaran Jiwa turut disiarkan menampilkan barisan personaliti TVS, Fattahbolh dan Siti Zawawi.

Getaran Jiwa menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.