Remaja maut rempuh belakang kereta pikap

0
3
Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakkan di bahagian hadapan setelah merempuh belakang kereta pikap.

 

Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakkan di bahagian hadapan setelah merempuh belakang kereta pikap.

BAU: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya merempuh belakang kereta pikap di Jalan Bau-Stass, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila mangsa, 16, sedang dalam perjalanan dari arah Pasar Bau menuju balik ke rumahnya di Kampung Stass.

Katanya, pemilik kereta pikap, lelaki berusia 68 tahun telah meletakkan keretanya di tepi sebelah kiri jalan kerana mengalami kerosakan.

“Apabila sampai di KM 25, Jalan Bau-Stass, di mana keadaan jalan lurus, gelap dan tiada lampu jalan, mangsa telah melanggar bahagian belakang pikap yang diletakkan di tepi jalan menyebabkan mangsa terpelanting di atas jalan bersama motosikalnya.

“Akibat daripada kemalangan ini pemandu pikap tidak mengalami apa-apa kecederaan sementara mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Pihak Paramedik Hospital Bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami patah pergelangan tangan kanan, pecah tengkorak depan, luka belakang telinga kiri, patah tulang rahang, cecair otak keluar dari hidung kiri dan telinga kiri dan luka sedikit di lutut kanan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Rumah Mayat Hospital Bau,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.