Piala Dunia: Wartawan dirompak semasa siaran langsung

0
2

QATAR: Wartawan Argentina, Dominque Metzger dari saluran televisyen TN dirompak semasa mengedalikan siaran langsung menjelang Piala Dunia Fifa dari Corniche, Doha.

Beberapa barang penting dari beg tangannya termasuk wang dan dokumen dicuri semasa insiden pergaduhan peminat tercetus.

Metzger kemudiannya menceritakan pengalamannya semasa disoal siasat polis Qatar.

Menurutnya dia terkedu dan berasa agak geli hati dengan soalan yang ditanya oleh pegawai polis kepadanya.“Saya ke balai polis dan ketika itulah perbezaan budaya bermula. Polis wanita itu berkata kepada saya: “Kami mempunyai kamera berteknologi tinggi di seluruh tempat dan kami akan mencari suspek dengan pengesanan muka. Apa yang anda mahu sistem keadilan lakukan apabila kami menemuinya?” kata Metzger lagi menceritakan pengalamannya.

Soalan polis tersebut membingungkan Metzger yang kemudiannya
meminta penjelasan lanjut tentang maksudnya.

Pegawai itu bertanya semula kepadanya: “Apakah keadilan yang anda mahukan? Apakah hukuman yang anda mahu kami berikan kepadanya? Adakah anda mahu dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun? Adakah anda mahu dia dihantar pulang ke negara asalnya atau dibuang negeri?”

Metzger berkata dia hanya mahukan barangnya semula dan tidak begitu peduli dengan apa-apa yang perlu dilakukan terhadap suspek jika dia berjaya ditemui nanti.

Pihak berkuasa Qatar dilaporkan cuba membendung jenayah sepanjang kejohanan Piala Dunia ini dengan memasang 15,000 kamera yang menggunakan pengecaman muka tercanggih di semua stadium terlibat.