KDM sokong Hajiji terus terajui Sabah

0
4

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan Sabah.

Timbalan Presiden KDM Datuk Wetrom Bahanda berkata pendirian itu selaras dengan ketetapan serta pendirian Hajiji dan GRS menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyertai kerajaan perpaduan.

Beliau berkata ketika perjumpaan pimpinan KDM diketuai Presidennya Datuk Peter Anthony bersama Anwar di Putrajaya semalam, Perdana Menteri menyatakan sokongan untuk Hajiji terus mentadbir kerajaan Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada kerajaan perpaduan.

“Justeru parti KDM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti ini menyokong Hajiji dan GRS untuk terus mentadbir dan menerajui Kerajaan Sabah,” katanya yang juga ADUN Bandau dan Ahli Parlimen Kota Marudu menerusi kenyataan hari ini.

Selain Wetrom, dua lagi ADUN daripada KDM ialah Peter (Melalap) dan Juil Nuatim (Limbahau).

Semalam, Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini GRS.