Bina segera sekolah menengah di Dun Pelagus

0
9
Adun Pelagus Wilson Nyabong Ijang

KUCHING: Kementerian Pendidikan digesa membina Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melekun di kawasan Dun Pelagus dengan segera.

Adun Pelagus Wilson Nyabong Ijan berkata, ia susulan lokasi tapak pembinaan SMK Melekun telah dikenal pasti.

“Justeru pembinaan sekolah ini sangat diperlukan untuk pelajar dari 11 sekolah rendah di Dun Pelagus agar mereka dapat meneruskan pendidikan di sekolah menengah nanti,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), Khamis.

Sementara itu, beliau turut meminta agar Kolej Universiti ICATS dibina di Bahagian Kapit supaya dapat menyediakan latihan kemahiran, sekali gus meningkatkan keperluan tenaga kerja dalam industri.

“Tanah adalah salah satu cabaran dalam membina sekolah baharu di Sarawak.

Justeru, saya berharap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak menyelesaikan isu ini dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain itu, saya juga mahu mengetahui perkembangan dan status naik taraf atau baik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Antaroh dan SK Lepong Baleh Kapit terkini?” soalnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta agar kerajaan menubuhkan Taman Makanan Kekal di kawasan Dun Pelagus agar dapat mewujudkan pekerjaan, peluang perniagaan dan menyediakan pendapatan mampan kepada peserta.

“Saya juga ingin meminta lebih kuota daripada tahun sebelumnya kepada pekebun getah di Kapit dan Daerah Bukit Mabong melalui Pertanian Daerah 2022,” katanya.

Wilson turut menggesa kerajaan agar mempercepatkan pembinaan pengkalan feri di Nanga Tulie yang diluluskan pada 2019 termasuk menyediakan operasi perkhidmatan feri di pekan Kapit.

Bagi memajukan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di antara Sungai Amang dan Sungai Sut, beliau meminta agar kerajaan membina rangkaian jalan baharu dari Jambatan Sungai Amang ke Sungai Sut yang menghubungkan Jalan Antaroh.

“Selain itu, membina jalan baru dari Rumah Panjang (Rh) Mengga Batang Rajang ke Rumah Theophilus Unan, Rumah Nyangon, Rumah Umping dan ke Rumah Sigan Ng. Belabut Baleh,” katanya.