Wednesday, November 30, 2022

Unifor bakal terima manfaat daripada lima projek kuari

Secara Rawak

KUCHING: Unit Hal Agama Lain Lain (Unifor) bakal menerima manfaat daripada lima projek perlombongan kuari dan satu projek pembalakan yang akan laksanakan tidak lama lagi di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bahawa Unifor mempunyai sepuluh hingga 15 peratus perkongsian (share) dalam setiap syarikat yang melaksanakan projek terbabit.

“Oleh itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berharap ia dapat membantu Unifor menjana pendapatan.

“Ini juga adalah cara kita membantu mengumpulkan dana untuk Unifor dalam pembangunan dan aktiviti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perpisahan Pengarah Unifor Richard Lon di Hotel Grand Margherita, semalam.

Tambah beliau, Tabung Amanah Amal Unifor telah ditubuhkan pada 2019 untuk menyokong aktiviti sosio-ekonomi dan kebajikan orang bukan Islam yang tinggal di Sarawak.

Unifor merupakan unit menjaga kebajikan rumah ibadat, malah turut menjaga kerja pembaikan gereja, kuil serta sosio-ekonomi dalam kalangan bukan Islam di Sarawak.

Walau bagaimanapun, Uggah yang juga menteri bertanggungjawab ke atas Unifor tidak dapat menganggarkan pendapatan kasar yang bakal diterima kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegarah Unifor Richard Lon menambah bahawa beliau percaya lebih banyak syarikat yang akan menyertai tetapi ia masih dalam perbincangan dan tidak dapat mendedahkan lebih banyak butiran terbabit.

Richard bakal dinaikkan pangkat untuk mengetuai Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh Sarawak yang baru ditubuhkan di negeri ini.

Manakala, Residen bahagian Bintulu Datu Jack Aman bakal menerajui Unifor sebagai pengarah baru berkuat kuasa 1 Disember depan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru