Friday, December 2, 2022

Rizab antarabangsa BNM meningkat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$107.5 bilion (US$1=RM4.57) pada 15 November 2022 berbanding US$105.2 bilion pada 31 Oktober 2022.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.2 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata bank pusat dalam kenyataan kelmarin.

Katanya komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$95.8 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (US$5.5 bilion), emas (US$2.1 bilion) dan aset-aset lain (US$2.8 bilion).

Aset tersebut terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM498.75 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.64 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM59.36 bilion).

Menurut BNM, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM160.82 bilion), mata wang dalam edaran (RM158.58 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM195.75 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM5.33 bilion), deposit lain (RM35.77 bilion), kertas Bank Negara (RM9.15 bilion), peruntukan SDR (RM28.70 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.05 bilion). – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru