Wednesday, December 7, 2022

Isu hutan simpan dan pembalakan jadi tumpuan

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak prihatin terhadap isu yang melibatkan hutan simpan dan aktiviti pembalakan di negeri ini, kata Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.

Noorazah berkata, seluruh dunia kini berdepan dengan krisis perubahan iklim yang menyebabkan paras air lebih tinggi daripada biasa sehingga berlaku banjir kilat dan menjejaskan kawasan pantai.

“Seperti yang ditekankan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini, beliau berhasrat menjadikan negeri ini sebagai pusat tenaga boleh diperbaharui serantau.

“Inilah perjuangan yang dibawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak yang sentiasa menitikberatkan keseimbangan negeri bukan sahaja dalam aspek kebajikan, pembangunan dan ekonomi malah aspek kestabilan alam sekitar turut diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) (Pindaan) 2022, pada Persidangan Dun Sarawak ke-19 Sarawak kelmarin.

Menurutnya, perbahasan RUU tersebut juga selaras dengan janji manifesto GPS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

Katanya, GPS telah mengetengahkan perkara tersebut dalam manifesto GPS PRU-15 iaitu memelihara dan melindungi alam sekitar untuk generasi kini dan akan datang.

“Namun, tanpa usaha gigih untuk memelihara keindahan alam sekitar ini, mungkin generasi akan datang tidak dapat menikmati keindahan yang dimiliki Sarawak sekarang,” ujarnya lagi.

Dewan Undangan Negeri Dun) Sarawak semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) (Pindaan) 2022, selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

RUU berkenaan diluluskan Speaker DUN Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar selepas mendapat sokongan majoriti Adun pada hari ketiga Persidangan DUN Sarawak Ke-19.

Selain Noorazah, RUU berkenaan turut dibahaskan lima Adun iaitu Adun Tamin Christoper Gira, Adun Balingian Abdul Yakub Arbi, Adun Daro Safiee Ahmad, Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip dan Adun Engkilili Johnical Rayong Ngipa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru