GPS perlu ada dalam Kerajaan Perpaduan – Chong Chieng Jen

0
12

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berpendirian bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti termasuk dalam kerajaan persekutuan untuk menyifatkan ia benar-benar sebagai kerajaan perpaduan.

Jelasnya, GPS mempunyai perwakilan terbanyak di Sarawak, dalam masa sama mewakili blok terbesar di kerusi parlimen Borneo.

Malah menurutnya, selain jumlah anggota GPS dalam Dewan Rakyat, jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sedikit sebanyak akan memberi impak kepada usaha Sarawak mendapatkan semula haknya yang terhakis.

“Saya tak mahu komen tentang perkara yang belum terjadi.. Tetapi semestinya dengan beberapa perwakilan dan jawatan Timbalan Perdana Menteri, saya fikir ia akan membantu dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak.

“Biasanya jawatan TPM datang bersama portfolio tertentu tetapi itu lebih sesuai ditanya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Namun pendirian saya jelas bahawa untuk membentuk kerajaan perpaduan sebenar, ia mesti melibatkan GPS dalam kerajaan persekutuan, dan saya sangat gembira untuk melihat ia menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Jumaat.

Pun begitu beliau yang juga ADUN Padungan menambah, kerjasama DAP dengan GPS di peringkat persekutuan tidak mengubah status DAP sebagai pembangkang di peringkat negeri.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kabinetnya akan merangkumi dua jawatan TPM yang melibatkan wakil dari Barisan Nasional (BN) dan GPS.