Saturday, December 3, 2022

TPM wajar ditawarkan kepada GPS – Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) seharusnya dipertimbangkan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana ia memiliki jumlah kerusi yang terbesar dalam blok Borneo.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan bahawa kerajaan baharu harus mengambil kira perkara ini bagi mengukuhkan perpaduan.

“Harus diingat kita (GPS) merupakan blok terbesar dengan 23 Ahli Parlimen, blok kita sangat besar,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PBB pada Khamis.

GPS menguasai 23 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di Borneo.

Dalam sidang media yang sama beliau berkata pihaknya amat terbuka dan berbesar hati menerima permohonan maaf DAP yang disifatkannya sebagai sesuatu yang amat positif.

“Yang penting mereka meminta maaf, ini bermakna mereka mengakui kesilapan mereka.

Jadi ini membuka lebaran baru. Namun pada masa sama mereka harus menghormati SUPP daripada parti komponen GPS.

“Ini membuktikan kami betul sejak dari awal dan politik kami bersih, kalau tidak mereka tidak akan minta maaf,” katanya.

Pun begitu keadaan di peringkat persekutuan tersebut tidak menjejaskan status DAP sebagai pembangkang di peringkat kerajaan negeri.

Untuk rekod DAP memegang hanya dua kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru