Friday, December 2, 2022

Tiong tidak dimaklum sesi menghadap, tapi akur nasihat Agong

Secara Rawak

KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing mengakui tidak dimaklumkan mengenai sesi menghadap Yang Di-Pertuan Agong oleh wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Istana Negara, semalam.

Menjelaskan perkara itu kata King Sing, ia mungkin disebabkan notis singkat dan tidak dapat menghubunginya.

“Semalam (Rabu) saya tidak dimaklumkan untuk ke pergi ke (Istana), mungkin mereka tidak dapat menghubungi saya kerana ia saat akhir.

“Tetapi apa yang saya faham, (Yang Di-Pertuan) Agong menasihatkan untuk membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa hadir ke kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.

Apa pun pendirian PDP katanya bersama dengan GPS, akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Baginda kelak.

Menurut King Sing, apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah menunggu hasil dan apa yang akan berlaku.

Ditanya tentang pembentukan kerajaan perpaduan, kata penyandang kerusi Parlimen Bintulu itu, kerajaan itu harus mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Seperti yang katakan, kita akur dengan apa sahaja keputusan Agong termasuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Tetapi ia mestilah kerajaan yang mementingkan rakyat, bukan kerajaan pelampau agama dan kerajaan perkauman (racist),” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru