Wednesday, November 30, 2022

Sarawak guna kewangan sendiri dalam belanjawan

Secara Rawak

KUCHING: Belanjawan Negeri Sarawak 2023 jelas menunjukkan bahawa Sarawak sedang menuju ke arah negeri yang berupaya untuk bergantung kepada kewangan sendiri.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia juga selari dengan usaha yang ingin dicapai, apabila diusahakan sejak tahun 2018.

“Melihat kepada peruntukan yang dibentangkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita telah melalui saat-saat tertentu dan berjaya berkembang dari semasa ke semasa.

“Malah, belanjawan yang dibentangkan juga merekodkan sejarah baharu apabila menyaksikan jumlah peruntukan yang paling besar diberikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Terima kasih kerana memberitahu bahawa Sarawak akan muflis. Sekarang, kita sudah mempunyai bajet yang paling besar,” katanya ketika ditemui wartawan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, di sini, Isnin

Sekitar tahun 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal bahawa Sarawak akan bankrap jika terus ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mengulas lanjut, belanjawan yang dibentangkan itu juga dilihat sebagai komprehensif membabitkan keterangkuman dan kemakmuran rakyat.

Katanya, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk infrastruktur, air, elektrik, pemilikan rumah, digitalisasi, pembangunan bakat dan sebagainya.

“Daripada keseluruhan belanjawan, kira-kira lebih 60 peratus merupakan pembangunan di kawasan luar bandar. “Jelas bahawa bajet yang dibentangkan ini bertumpu kepada kepentingan rakyat termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa selain pendapatan baharu, polisi dividen, perdagangan karbon dan sebagainya pasti membantu meningkatkan lagi hasil pendapatan negeri pada masa akan datang.

“Kita perlu tingkatkan pendapatan negeri dalam masa terdekat. Inilah usaha kita untuk jaga Sarawak baik-baik seperti apa yang dihasratkan oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan),” katanya.

Sementara, Abang Johari merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak telah membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2023 di Dun Sarawak, di sini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru