Friday, December 2, 2022

Presiden PBK, 4 yang lain dibebas

Secara Rawak

KUCHING: Pihak polis membebaskan Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan bersama-sama empat orang ahli parti yang ditahan, semalam, berhubung tiga video klip berbaur perkauman tular di media sosial.

Kelima-lima mereka ialah Phang Aik Hua,59, Chan Chee Wei,59, Voon Lee Shan, 67, Danny Voon, 38, dan Lue Cheng Ming di bawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk pendengaran tahanan reman.

Bagaimanapun, pihak polis menarik balik tahanan reman dan laporan polis terhadap mereka membebaskan kesemua mereka.

Menurut Peguambela Dominic Ng yang mewakili kelima-lima suspek, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan tiada kertas pertuduhan dikemukakan.

Tahanan reman yang dikemukakan terhadap mereka mengikut Seksyen Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988.

Kesemua mereka turut diwakili enam lagi peguam yang lain iaitu RJ Noel, Patrick Voon, Tiong Ing Meng, Steven Sia, Alex Kong dan Lim Heng Choo.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menyatakan dua kertas siasatan telah dibuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di bawah Seksyen 233 Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Pengangkutan Jalan.

Menurutnya, pihak polis menerima tiga laporan berkaitan video klip mengenai sekumpulan lelaki yang telah mengeluarkan perkataan anti Parti se-Islam Malaysia (PAS), ‘No To PAS’ Sarawak berlaku di Jalan Tun haji Abang Openg pada 6.47 petang.

Selain itu, laporan pada jam 6.40 petang sebuah kenderaan hitam melalui kawasan Jalan Padungan Kuching dengan membawa sepanduk ‘Say No To PAS’ sambil menggunakan alat pembesar suara berbunyi ‘We Dont Want Parti Islam se-Malaysia, we are multiracial society in Sarawak’ (Kita tidak mahu PAS, kami adalah masyarakat berbilang bangsa di Sarawak).

“Dan satu lagi kes pada 8.47 petang video klip berdurasi 22 saat iaitu seorang lelaki menggunakan alat pembesar suara mengucapkan ‘katakan tidak kepada PAS, katakan tidak kepada Muhyiddin, kami tidak mahu PAS datang ke Sarawak di hadapan jejantas Jalan Tun Jugah.

“Pada malam sama, PDRM telah menangkap lima suspek disyaki terlibat dalam video klip dan kertas siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Hasil tangkapan, beberapa rampasan dibuat iaitu tiga buah kenderaan terdiri daripada Land Cruiser, MPV dan Innova serta dua banner tertulis ‘Say No To PAS’.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru