Friday, December 2, 2022

Pemimpin politik mampu berdamai demi rakyat, negara

Secara Rawak

KUCHING: Pembentukan Kerajaaan Perpaduan dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 membuktikan kredibiliti dan sikap rasional pemimpin-pemimpin parti politik di Malaysia untuk duduk berbincang demi kepentingan rakyat.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai pembangunan yang baik dengan mengenepikan sifat hasad dengki dengan bersatu sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Penamat kepada kebuntuan selama beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu juga ujarya telah membuka lembaran baharu kepada pentadbiran dan ekonomi yang lebih positif untuk terus bergerak kehadapan.

“Kita tidak boleh terus begini dengan ketidakpastian, ini tidak baik untuk ekonomi, pasaran saham dan nilai ringgit kita yang juga melibatkan pelabur-pelabur asing.

“Saya yakin inilah yang rakyat Malaysia mahu lihat tidak kira mereka dari Semenanjung atau Sarawak, kita telah berjaya mengenepikan hasad dengki dari satu sama lain dan melihat diri kita sebagai rakyat Malaysia yang mahu membina negara megah tanpa isu-isu politik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Khamis.

Biarpun tidak menjangkakan akan adanya Ahli Parlimen Sarawak dilantik sebagai menteri yang penting di dalam kabinet Kerajaan Persekutuan, Abdul Karim mahu hak serta suara rakyat Sarawak tidak diketepikan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kita akan serahkan sepenuhnya soal pembentukan kabinet ke atas kuasa prerogatif Perdana Menteri, seberapa ramai ahli kabinet itu kita mungkin tidak dapat jangkakan namun saya berharap Sarawak tidak akan ditinggalkan.

“Kita mungkin tidak ada di dalam senarai menteri yang utama, namun apa pun yang berlaku kita mahu kedudukan Sarawak di dalam setiap kementerian dan jawatan yang dilantik.

“Ini kerana Sarawak juga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan Malaysia, banyak sumber yang telah digunakan untuk membangunkan negara ini melalui Petronas datang daripada negeri ini, sesiapa sahaja yang memimpin Malaysia perlu melihat perkara itu,” jelasnya lanjut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru