Thursday, December 8, 2022

Pesta Rakyat Durin 2022 kembali

Secara Rawak

SIBU: Persatuan Komuniti Durin dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan menganjurkan Pesta Rakyat Durin 2022 dari 25 hingga 27 November ini.

Pada sidang media di sini, pengerusi penganjurnya Kaunselor Teo Boon Siew berkata, pesta akan diadakan di Tebingan Pekan Durin. Setelah dua tahun tidak dianjurkan, beliau menjangkakan antara 4,000 hingga 5,000 pengunjung akan hadir ke pesta tersebut pada edisi kali ini.

“Acara ini tidak dianjurkan selama dua tahun susulan pandemik Covid-19 yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021.

“Oleh itu, pada edisi kali ini pelbagai acara menarik menanti para pengunjung,” jelasnya.

Menurut Boon Siew antara acara meriah itu ialah pertandingan bot kawalan jauh, sepak takraw, karaoke, ngajat, dart, menangkap itik, pertandingan mewarna, bola keranjang dan poco-poco.

Acara tumpuan atau utamanya pada pesta kali ini, jelasnya ialah mini regata, Ratu Kebaya dan persembahan bunga api. “Selain itu, Pesta Ria sempena Pesta Rakyat Durin juga telah pun bermula sejak 20 November lepas dengan 38 gerai yang menjual pelbagai jenis barang dan permainan mengambil bahagian.

“Selain gerai ini, terdapat juga 17 gerai komuniti disediakan yang bertujuan memberi peluang kepada penduduk setempat terlibat dalam aktiviti perniagaan,” katanya.

Boon Siew mengatakan majlis perasmian Pesta Rakyat Durin 2022 dijangka disempurnakan Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing pada 26 November ini jam 8.30 pagi manakala penutupannya dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I Datu Dr Penguang Manggil pada Ahad ini jam 6.30 petang.

Rentetan itu, beliau menjemput semua penduduk dari kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan pesta tersebut serta mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru