Friday, December 2, 2022

Pertimbangkan empat perkara

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak diharapkan mempertimbangkan empat perkara bagi menjaga integriti dan hasrat mewujudkan Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak agar ia tercapai.

Adun Pelagus Wilson Nyabong Ijang menegaskan, terdapat beberapa kelemahan misalnya pulangan tidak menentu, kesan akibat kadar pertukaran asing dan salah urus dana mungkin disebabkan kekurangan ketelusan dan campur tangan politik.

“Saya berharap apabila kita melancarkan rancangan untuk menubuhkan Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, faktor-faktor tersebut patut diambil kira.

“Atas maksud tersebut saya mencadangkan empat perkara demi menjaga dan mengekalkan ketelusan tabung tersebut selaras dengan hasrat dan visi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Pertama, mesti mengenal pasti sumber pendapatan yang tepat untuk dana iaitu lebihan minyak dan gas, lebihan daripada penjanaan kuasa, jualan mineral lain atau sebahagian daripada Cukai Jualan Sarawak (jika dicadangkan kemudian).

“Kedua, mesti diuruskan oleh pasukan yang terdiri daripada profesional kewangan dan pelaburan, yang dikenal pasti dari seluruh dunia dan satu-satunya objektif utama adalah untuk menjadikan tabung dana ini berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyokong pembentangan RUU Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak 2022 pada hari kedua Persidangan Dun Sarawak di sini, kelmarin.

Cadangan ketiga jelasnya, tiada campur tangan politik dan mereka harus bekerja tanpa rasa takut atau memihak kepada politik.
“Keempat, pasukan pengurusan dana melaporkan kepada Dun secara berkala.

“Biarpun mungkin kelihatan sedikit berlebihan tetapi saya rasa penting untuk kita melakukannya bagi mengekalkan integriti dan juga membolehkan tabung dana ini mencapai matlamatnya untuk Sarawak,” ujarnya.

Wilson juga menyentuh tentang permintaan pasukan pengurusan dana melepaskan sebahagian daripada dananya untuk tujuan penyelidikan, pembangunan dan pelaksanaan beberapa bidang yang sedang berkembang.

“Kita berada di puncak teknologi dan dunia kini berlumba-lumba.

Sarawak harus memanfaatkan kedudukannya.

Saya juga ingin mencadangkan pasukan sementara melihat portfolio pelaburan tradisional seperti bon, hartanah, saham dan pertukaran asing kerana kita juga harus mempertimbangkan untuk melabur dalam bidang lain.

“Sarawak bukan sahaja patut melihat secara pasif tabung dana ini berkembang, malahan mesti membenarkan sebahagian daripadanya walaupun kecil untuk meneroka kawasan baharu bagi meningkatkan pulangan,” jelasnya.

Beliau berharap barisan Adun memahami betapa beratnya RUU ini dan apa yang dimulakan akan berkembang.

“Saya berharap tabung dana ini bukan sahaja akan melindungi wilayah kita daripada krisis kewangan tetapi juga memperkukuhkan simpanan Sarawak,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru