Saturday, December 3, 2022

Perkhidmatan kerajaan secara digital

Secara Rawak

KUCHING: Bagi merealisasikan kerajaan digital, undang-undang negeri ini perlu dipinda untuk menjadi e-enabled, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Ia bertepatan dengan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Aktiviti Elektronik Kerajaan Sarawak, 2022 yang diluluskan di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Ke-19 di sini, kelmarin.

Beliau berkata, RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun menjadi e-enabled tanpa memerlukan pindaan lanjut terhadap undang-undang negeri.

Katanya, di bawah rangka kerja berkanun sedia ada, tidak semua perkhidmatan kerajaan boleh disampaikan secara dalam talian kerana banyak undang-undang negeri semasa, digubal ketika penggunaan teknologi digital masih asing.

“Sebagai contoh undangundang negeri ini masih memerlukan tanda tangan dalam bentuk bertulis, dokumen untuk diserahkan dalam salinan cetak, dokumen untuk disampaikan secara peribadi atau melalui pos berdaftar dan sebagainya.

“Justeru, penerimaan dan penggunaan teknologi digital mungkin dihadkan kerana keperluan berkanun di bawah undang-undang negeri ini,” katanya.

Manakala bagi undang-undang baharu, ia membenarkan penggunaan tanda tangan digital atau elektronik, penyimpanan atau penyerahan dokumen dilakukan secara elektronik, permohonan digital dan kelulusan lesen dan permit, penubuhan daftar elektronik dan pembayaran dibuat dalam talian dan resit dikeluarkan secara elektronik.

Julaihi yang juga Adun Sebuyau memberitahu dengan RUU baharu itu, kerajaan sedang bergerak ke arah mencapai aspirasinya dalam menyediakan perkhidmatan kerajaan digital secara menyeluruh.

“Ia juga menetapkan asas bagi transformasi digital dan ekonomi digital negeri,” katanya. Beliau juga berkata RUU itu juga selaras dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar negeri ini menjamin masa depannya sebagai ekonomi dan masyarakat digital yang moden dan terkemuka menjelang 2030.

“RUU ini bertujuan untuk memudahkan transformasi digital Sarawak di bawah kedua-dua Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 dan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).

“Tidak dinafikan, kerajaan sebagai pemangkin utama yang mencetuskan transformasi digital, mesti menerajui inisiatif pendigitalan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru