Saturday, December 3, 2022

Pemandu lori dijatuhi hukuman, ugut bunuh isteri

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana ugut bunuh isterinya yang disangka membuka beg sandang milik tertuduh.

Tertuduh Junaidi, 47, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan terhadap isterinya berusia 46 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bintawa Tengah, kira-kira jam 8 pagi, 21 November lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, di kediaman mereka, suaminya (tertuduh) bertindak mencekik leher, menampar muka, dan menendang badan mangsa berkali-kali di bilik tidur mereka.

Suspek juga telah mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh mangsa jika memberitahu kepada bapa mangsa tentang kejadian tersebut.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit-sakit di bahagian badan.

Mangsa yang bimbang akan keselamatan diri tampil membuat laporan polis seterusnya menbawa kepada penahanan tertuduh sehari selepas kejadian.

Hasil siasatan, tertuduh telah melakukan jenayah ugut bunuh terhadap mangsa selain mencekik leher, menendang dan menampar mangsa.

Selain itu, tertuduh tidak dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana laporan perubatan menyatakan bahawa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, punca kejadian kerana tertuduh menyangka mangsa telah membuka beg sandang miliknya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru