Thursday, December 8, 2022

Pelbagaikan sumber kekayaan dengan pentadbiran yang stabil

Secara Rawak

KUCHING: Adun Balingian Abdul Yakub Arbi mengakui penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak mestilah dikawal selia secara ketat dan penuh ketelusan.

Beliau berharap dengan adanya Kerajaan Sarawak yang stabil dan di bawah pentadbiran GPS, lebih banyak syarikat gergasi akan bertapak dan melabur ke negeri ini.

“Berdasarkan pendapatan hasil negeri, Sarawak adalah negeri kedua terkaya di Malaysia dalam hasil sumber ekonominya.

“Hasil Sarawak yang dijanakan melalui sumber gas asli, petroleum, balak dan kelapa sawit dan sumber ekonomi baharu seperti sektor perkilangan elektronik dan bioteknologi boleh digunakan bagi mengukuhkan penubuhan tabung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan menyokong pembentangan Rang UndangUndang (RUU) Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, 2022 pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini,kelmarin.

Jelasnya penubuhan dana itu sememangnya menjadi satu tarikan yang amat signifikan apabila banyak negara di dunia membuka dana sedemikian.

“Dana tersebut dianggap oleh kebanyakan negara sebagai cara menyimpan keuntungan untuk kegunaan ekonomi negara dan rakyatnya.

Fungsi utama dana digunakan untuk menstabil ekonomi negara dan mempelbagaikan sumber kekayaan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Sebagai contoh katanya, UAE menghasilkan pendapatan yang sangat besar dengan eksport minyak dan mencari kaedah bagaimana mengawal lebihan simpanan dari risiko berasaskan simpanan minyak.

“Dengan hal yang demikian, mereka menyimpan sebahagian dari hasilnya ke dalam Dana Kedaulatan Kekayaan. Sejarah Dana Kedaulatan Kekayaan Dana Kedaulatan Kekayaan yang pertama bermula sekitar tahun 1950-an.

“Ia muncul sebagai cara penyelesaian bagi sebuah negara yang mempunyai bajet lebihan.

Pada tahun 1953, Lembaga Pelaburan Kuwait telah menubuhkan dana mereka yang pertama untuk melabur lebihan hasil minyak mereka.

“Manakala, Lembaga Pelaburan Abu Dhabi ditubuhkan pada tahun 1976 dan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura 3 dalam tahun 1981,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru