Saturday, December 3, 2022

Pakar jaga dana masa depan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak diuruskan secara profesional dan telus oleh Ahli Lembaga Penjaga yang terdiri daripada pakar dan profesional dalam bidang kewangan serta pelaburan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semua perolehan dana melalui pelaburan, pendapatan dan pulangan pelaburan dimiliki sepenuhnya oleh Sarawak dengan lembaga berkenaan hanya bertindak sebagai penjaga wang di dalam dana tersebut.

“Dana kekayaan ini akan diletakkan di bawah pengurusan dan jagaan sebuah pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah RUU ini yang akan dipanggil Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.

“Disebabkan perkara tersebut, ia memerlukan integriti, akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme yang tinggi daripada ahli Lembaga Penjaga dan semua pihak yang bertanggungjawab menjaga serta menguruskan dana ini,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata demikian dalam Bacaan Kedua Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, 2022 pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri , di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata RUU yang dibentang turut menggabungkan ciri tadbir urus dan amalan terbaik antarabangsa dalam pengurusan serta pelaburan wang dalam dana seperti yang termaktub dalam Prinsip Santiago.

“Selain itu, mustahak untuk orang yang menguruskan dana berkenaan bebas daripada sebarang campur tangan politik.

“Oleh itu, seseorang individu tidak layak untuk dilantik sebagai penjaga atau ahli lembaga jika beliau pada masa pelantikannya merupakan seorang Adun, Ahli Parlimen mahupun ahli badan perundangan atau pihak berkuasa tempatan mana-mana negeri di Malaysia,” ujarnya.

Tambah Abang Johari, daripada perspektif struktur tadbir urus, komposisi Lembaga Penjaga dan penubuhan jawatankuasa terdiri daripada jawatankuasa risiko, jawatankuasa imbuhan, jawatankuasa audit dalaman, jawatankuasa pelaburan dan jawatankuasa penasihat syariah yang akan dimodelkan berdasarkan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

“Panel penasihat pelaburan bebas juga akan ditubuhkan untuk memberi nasihat mengenai pengurusan dan pentadbiran dana tersebut,” ujarnya.

Jelas Abang Johari, RUU itu bertujuan memaksimumkan pulangan daripada lebihan rizab modal negeri melalui pelaburan.

“Malah pembentangan RUU ini memenuhi manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) dan untuk membuktikan bahawa kita mengambil janji dan manifestonya dengan serius,” jelasnya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru