Friday, December 2, 2022

Langkah naik taraf hospital Mukah jadi hospital pakar minor

Secara Rawak

KUCHING: Biarpun tiada perancangan untuk membina hospital baharu di Mukah, Kerajaan Persekutuan bagaimanapun menaik taraf Hospital Mukah menjadi hospital pakar minor bagi menyediakan perkhidmatan pakar di bawah konsep hospital kluster.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan perkara tersebut pada 8 September lalu.

“Tiada perancangan untuk membina hospital baharu di Mukah kerana pada masa ini Hospital Mukah menyediakan perkhidmatan pakar di bawah konsep hospital kluster.

“Maknanya, pakar dari Hospital Bintulu menjalankan lawatan ke klinik pakar secara berkala di Hospital Mukah,” katanya ketika menjawab soalan Adun Tellian Royston Valentine pada persidangan hari keempat Dun Sarawak di sini, hari ini.

Jelasnya, pasukan pakar di Hospital Bintulu akan mengadakan lawatan ke Hospital Mukah dan Dalat untuk memastikan penjagaan pakar ke kedua-dua kawasan tersebut.

“Setakat ini, perkhidmatan pakar di Hospital Mukah melibatkan bidang Obstetrik dan Ginekologi, perubatan dalaman, pembedahan am, psikiatri, Otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak), Oftalmologi (mata), Pediatrik, Perubatan Kecemasan dan Radiologi,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan konsep hospital kluster telah bermula sejak 2014 untuk mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan penjagaan pakar ke kawasan luar bandar, seterusnya membantu meningkatkan kualiti kesihatan kepada komuniti tanpa mengira lokasi.

Sehingga kini, enam hospital kluster berjaya diwujudkan melibatkan 23 hospital di Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru