Wednesday, November 30, 2022

Junjung titah Agong: Akhirnya BN setuju sertai kerajaan perpaduan

Secara Rawak

​​KUALA LUMPUR:  Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan  untuk menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan dipimpin oleh Perikatan Nasional.

BN   menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan  bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT juga mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media selepas  mesyuarat MKT di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, malam tadi.

Selain itu, kata Ahmad Maslan, Majlis Tertinggi Umno juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi parlimen pada PRU-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kenyataan yang sama, dimaklumkan juga bahawa Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini adalah pada 21-24 Disember 2022.

BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi pada PRU-15, 19 November lalu.

Kemelut berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan memasuki hari kelima hari ini susulan tiada gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru