Wednesday, November 30, 2022

Jadi Adun bertanggungjawab

Secara Rawak

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2), 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lompat parti amat tepat pada masanya.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, Sarawak memerlukan parti tempatan dan calon-calon parti yang kuat dan lantang bersuara mewakili negeri ini yang sememangnya ada pada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Perkara tersebut penting untuk membolehkan keperluan negeri ini diberi perhatian penuh oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu orang yang bertanggungjawab di Sarawak menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tidak mahu calon lemah mewakili kita memandangkan mereka tidak mampu bersuara dan membela hak Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) (No.2), 2022 pada persidangan Dun, di sini, kelmarin.

Tambahnya, rakyat Sarawak berhati-hati memilih wakil rakyat dan memberi sokongan kepada calon yang berpolitik demi memperjuangkan hak rakyat, bukannya atas kepentingan peribadi.

“Jadi, kita tidak mahu wakil rakyat bertukar parti setelah dipilih. Wakil rakyat Sarawak adalah berintegriti dan bertanggungjawab.

“Ini bertujuan memastikan Adun patuh kepada Perlembagaan atau peraturan serta disiplin parti,” ujarnya yang turut menyokong pindaan RUU tersebut.

RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan NegeriPersekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Ia kemudian diluluskan setelah mendapat sokongan dua pertiga atau 77 Adun.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru