Friday, December 2, 2022

Anthony Loke mohon maaf kepada Abang Johari,  GPS bagi pihak DAP 

Secara Rawak

KUCHING: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook hari ini memohon maaf  secara terbuka kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pertemuan mereka pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Loke  berkata beliau bertemu dengan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden Sarawak United People’s Party (SUPP) Datuk Sri Dr Sim Kui Hian dalam perbincangan yang disifatkan mesra.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.

Kenyataan maaf itu dibuat susulan kemungkinan gabungan itu menyertai PH   selepas dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan ekoran jalan buntu politik negara selepas PRU-15 pada Sabtu lalu.

PH memenangi 82 kerusi, PN 73 kerusi, BN 30, GPS 23 dan GRS enam kerusi.

Selain PKR dan Amanah, PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disertai DAP.

Semalam GPS menyatakan  sekali lagi akan akur kepada cadangan pembentukan kerajaan perpaduan kerana itu yang dihasratkan oleh Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi menamatkan kemelut politik yang sedang melanda negara.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam pertemuan beliau bersama-sama tiga lagi ahli Parlimen GPS dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam,  baginda meminta GPS berbincang dan mempertimbangkan sama ada kerajaan perpaduan boleh ditubuhkan.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong kemudiannya bertanya  pendirian GPS dan baginda turut menjelaskan kepada mereka, alasan mengapa perlu diwujudkan kerajaan perpaduan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru