Wednesday, November 30, 2022

Adun Kalaka santuni warga hospital, pesakit

Secara Rawak

SARATOK: Keperluan pihak hospital akan dilihat dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk sekitar.

Adun Kalaka Mohamad Duri memberitahu, pihaknya komited membantu pihak hospital sesuai dengan kapasiti.

“Kita tidak nafikan Hospital Saratok memerlukan sokongan daripada pelbagai aspek. Namun, jika melibatkan keperluan peralatan utama kita mohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) ambil maklum.

“Tetapi bagi keperluan peralatan kecil, yang boleh kita bantu terus, insya-Allah kita bantu.

“Misalnya pihak hospital memaklumkan mereka memerlukan aerochamber iaitu alat yang digunakan oleh pesakit asma.

Maka, kita berikan terus,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi PBB itu berkata demikian selepas melawat pesakit di wad lelaki Hospital Saratok, baru-baru ini.

Beliau dan pasukan Edisi Kalaka Saratok telah menyampaikan sumbangan berupa lima unit aerochamber bagi keperluan wad tersebut.

Jelasnya, aktiviti menyantuni warga hospital dan pesakit seperti ini bertujuan merapatkan hubungan dengan pemimpin setempat.

“Saya berharap terus dapat membantu pihak hospital.

“Begitu juga, saya menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama menyumbang.

Jangan hirau sekecil mana pun sumbangan kita, asalkan dapat menampung apa yang diperlukan oleh mereka demi kemudahan pesakit,” ujarnya.

Mohamad disambut mesra Pengarah Hospital Saratok Dr Wan Muhammad Faizuddin bersama-sama jururawat di wad berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru