Saturday, December 3, 2022

Adakah kerajaan perpaduan jalan penyelesaian kebuntuan?

Secara Rawak

Semalam masuk hari keempat politik negara masih belum menemui jalan terbaik untuk membentuk sebuah kerajaan hasil daripada mandat yang telah diberikan oleh rakyat semasa PRU-15 lepas. Kebuntuan terus menghantui politik negara dalam pembentukan kerajaan kerana tiada mana-mana gabungan parti politik mendapat majoriti yakni majoriti mudah usai PRU-15. Permainan angka terus berlegar dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di negara kita. Sistem majoriti mudah ini merupakan sistem pilihan raya yang diamalkan di negara kita bagi mengesahkan siapa yang memenangi kerusi di sesebuah kawasan parlimen yang ditandingi serta parti atau gabungan politik mana yang mendapat kerusi terbanyak yakni mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

Keputusan PRU-15 lepas adalah seperti berikut; PH=82, PN=73, BN=30, GPS=23, GRS=6, Warisan=3, PBM=1, KDM=1 dan Bebas=2. Hanya Parlimen Padang Serai belum diketahui keputusan kerana calon daripada PH telah meninggal dunia dalam tempoh berkempen dan pilihan raya telah ditangguhkan. Peratusan keluar mengundi sebanyak 74% sedikit sebanyak memberikan kesan kepada majoriti kerusi yang diperolehi oleh mana-mana gabungan parti politik. Tiada mana-mana parti dan gabungan mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan yang sehingga ke hari ini masih menemui jalan buntu. Parlimen tergantung dan ia memberi kesan negatif kepada negara.

Dilema dalam pembentukan kerajaan harus diselesaikan segera agar ia tidak memudaratkan negara terutama daripada segi ekonomi. Negara luar kini memberi tumpuan kepada negara dalam proses pembentukan kerajaan. Siapa yang bakal mengemudi kerajaan sudah pasti akan memberi kesan kepada penarikan para pelabur daripada negara luar. Secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada sektor ekonomi di negara kita. Penyelesaian kepada parlimen tergantung ini harus mendapat jalan penyelesaian dengan mengambilkira mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Atas kertas, PH yang mendapat kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi merupakan gabungan politik yang berhak untuk diberikan ruang dan peluang untuk membentuk kerajaan yakni kerajaan minoriti atau sebuah kerajaan perpaduan. Mandat rakyat jelas secara keseluruhannya memihak kepada PH. Negara tidak ingin melihat peristiwa dimana parti yang tidak mendapat kerusi terbanyak diberikan peluang untuk mengemudi negara. Ia jelas menolak mandat yang diberikan oleh rakyat Malaysia. Maka istilah kerajaan pintu belakang bakal kembali berkumandang. Ketidakstabilan sudah pasti sukar untuk dikecapi sekiranya mandat rakyat tidak diutamakan dalam pembentukan kerajaan.

Negara amat memerlukan seorang tokoh yang berwibawa, berkarisma, mempunyai intergriti dan dihormati oleh pemimpin di seluruh dunia untuk mengemudi negara. Ia penting untuk membolehkan negara bangkit kembali daripada permasalahan yang dihadapi terutama dalam ekonomi. Pemimpin yang telah dikatakan gagal oleh majoriti rakyat tidak harus diangkat mengemudi negara kerana ia memberi persepsi negatif kepada negara di mata dunia. Maka perkara seperti ini harus diteliti secara tuntas sebelum membuat keputusan bagi siapa yang layak mengemudi negara.

Selain itu, permainan angka dalam mencukupkan majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan kini kelihatan semakin rancak berlegar di pentas politik Malaysia. Bila perkara ini berlaku, ia bakal menimbulkan situasi dimana mandat keseluruhan rakyat kebarangkalian tidak dipedulikan. Ia hanya permainan aktor dan parti politik untuk memastikan kuasa berada ditangan mereka. Hanya kerana gabungan parti yang memenangi kerusi terbanyak tidak mendapat sokongan dalam kalangan parti-parti lain telah menidakkan peluang mereka untuk membentuk kerajaan sudah pasti memberi persepsi negatif kepada rakyat dan dunia luar. Persoalannya, sekiranya perkara ini terjadi, adakah pilihan raya yang diadakan dengan kos berbillion itu hanya boneka kepada aktor serta parti politik ini setelah majoriti mandat rakyat dikhianati?

Setiap masalah sudah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan kemelut politik yang melanda negara dalam pembentukan kerajaan pasca PRU-15 ini. Konsep pembentukan Malaysia serta semangat MA63 boleh dijadikan panduan untuk menyelesaikan masalah pembentukan kerajaan ini. Malaysia tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak. Sarawak dan Sabah harus memainkan peranan yang tepat dalam membuat keputusan untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan berlandaskan mandat rakyat. Kerusi yang dimenangi oleh GPS (23) PBM (1) di Sarawak dan di Sabah, Warisan (3), KDM (1), Bebas (2) sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah bersama kerusi dimenangi PH. Jumlah majoriti mudah 112 kerusi sudah pasti dapat dicapai melalui formula ini. Kegoan harus diketepikan demi merealisasikan pembentukan kerajaan yang berlandaskan mandat rakyat. Sekiranya GRS (6) turut berlapang dada dengan menyokong PH yang jelas mendapat kerusi terbanyak ia akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan yang dibentuk.

Apa yang pasti, sekiranya pembentukan kerajaan berlandaskan formula ini, ia bakal menyaksikan sebuah kerajaan yang inklusif dimana semua kaum dan wilayah terlibat bakal mempunyai wakil dalam kerajaan. Sudah pasti, kerajaan seperti ini didambakan oleh rakyat Malaysia yang progresif dan ingin menyaksikan roh MA63 itu dapat diterjemahkan dalam pembentukan kerajaan. Ini merupakan peluang untuk Sabah dan Sarawak memperkasakan semangat pembentukan Malaysia seperti yang termaktub dalam MA63. Ini bukan retorik yang selalu dijaja oleh aktor politik tetapi realiti kepada tuntutan bagi memulakan pelaksanaan MA63 yang selalu disajikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Rakyat Sabah dan Sarawak pasti akan terus mendokong parti politik yang ikhlas dalam memperjuangkan hak mereka dengan membentuk kerajaan yang berlandaskan mandat rakyat. Iltizam politik yang tinggi disertai keihlasan harus dimiliki oleh aktor dan parti politik di Sabah dan Sarawak bagi merealisasikan pembentukan kerajaan pasca PRU-15 ini demi kebangkitan negara. Kebuntuan pembentukan kerajaan ini harus dileraikan dengan segera demi kebaikan kepada negara. Apa yang penting, mandat rakyat yang jelas boleh menjadi panduan untuk pembentukan kerajaan yang inklusif dan pasti mendapat pengiktirafan negara luar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru