Friday, December 2, 2022

Macau Scam: Penyelia syarikat swasta rugi RM208,800

Secara Rawak

BINTULU: Seorang penyelia bahagian sebuah syarikat swasta kerugian RM208,800 akibat terpedaya dengan penipuan sindiket Makau Scam selepas menerima panggilan kononnya dia terlibat dalam pelbagai kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitendan Batholomew Umpit berkata, ia bermula selepas mangsa berusia 59 menerima panggilan telefon daripada seorang yang tidak dikenali dari Kementerian Kesihatan Malaysia (Putrajaya) pada 15 November 2022 yang lalu.

Katanya, pemanggil itu mengatakan telah terima aduan daripada orang awam bahawa pengadu telah membuat 1,200 aduan memburukkan KKM di laman sosial dan kes tersebut telah disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, Sabah.

“Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai polis dari IPD Kota Kinabalu, untuk menyelesaikan masalah tersebut, mangsa kemudian diminta membuat rayuan dengan pegawai polis tersebut kerana dikatakan nama beliau terlibat kes pengubahan wang haram, pengedaran dadah serta berkerjasama dengan ‘Geng Lim Kok Wing yang juga seorang pesara pengurus bank di Bintulu yang telah ditangkap dan ditahan di IPD Kota Kinabalu, sekiranya tidak diselesaikan secepat mungkin mangsa akan dikenakan tindakan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk membuka satu akaun di Bank Islam dan memasukkan sejumlah wang ke akaun tersebut.

Katanya, mangsa yang mempercayai suspek telah menuruti arahan tersebut dengan mengeluarkan wang simpanan dari akaun ASB dan memasukkan sejumlah wang ke akaun Bank Islam yang baru dibuka itu, mangsa seterusnya telah mendaftar emel dan nombor telefon milik suspek untuk perbankan dalam talian akaun yang baru dibuka itu.

“Lelaki itu hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan di kaunter bank cawangan Bintulu dan mendapati wang dalam akaun hanya berbaki rm388.00 sahaja.

Dimaklumkan wang berjumlah rm209,800 telah dipindahkan ke dua akaun individu yang tidak dikenali melalui sembilan transaksi antara 16 november 2022 dan 17 november 2022,” ujarnya.

Sehubungan itu Batholomew menasihatkan, orang ramai agar dapat mengawal diri sendiri dan tidak mudah panik atau merasa cemas sekiranya menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali yang mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan institusi kewangan, syarikat insuran syarikat penghantaran dan sebagainya

Katanya, segera tamatkan panggilan tersebut dan buat semakan dengan pihak berwajib melalui nombor telefon yang sah atau hadir sendiri ke jabatan kerajaan, institusi kewangan, syarikat insuran, syarikat penghantaran berkenaan untuk membuat pengesahan jangan sesekali menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh suspek.

“Jangan sekali-kali memberikan maklumat perbankan seperti nombor akaun nombor kad ATM, nombor pin, ID dan kata laluan perbankan online kepada mana-mana individu yang tidak dikenali maklumat perbankan tidak seharusnya didedahkan kepada sesiapa sahaja.

“Pada masa yang sama, jangan sesekali mendaftarkan perbankan online anda dengan nombor telefon yang diberikan oleh mana-mana individu yang tidak dikenali,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru