Thursday, December 8, 2022

Kerajaan digesa tubuh Pusat Kecemerlangan Song

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa menubuhkan Pusat Kecemerlangan Song seperti Centexs bagi mentransformasikan masyarakat luar bandar agar mempunyai ekonomi yang berdaya saing.

Adun Katibas Lidam Assan berkata, pusat ini akan menyediakan pengetahuan dan kemahiran sebagai sebahagian daripada usaha mentransformasikan Sarawak kepada ekonomi yang berdaya saing seperti Teras Strategik Keempat.

“Sebagai sebahagian daripada strategi pendigitalan Sarawak, saya memohon penubuhan Pusat Kecemerlangan Song seperti Centexs dengan penyesuaian kurikulum demi menyokong petani tempatan dan masyarakat luar bandar meningkatkan ekonomi masing-masing.

“Ia mewujudkan platform pembangunan usahawan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam perbahasan menyokong RUU Perbekalan (2023), 2022 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Bagi Tahun 2023 di Kuching, hari ini.

Jelasnya, pusat tersebut akan dilengkapi dengan sambungan Internet berkelajuan tinggi bagi memenuhi pengetahuan dan idea produk, berita semasa tentang teknologi, latihan, inovasi, permulaan, ulasan produk, perkhidmatan pendaftaran perniagaan dan pemasaran perniagaan.

“Saya pasti ia mampu bertindak sebagai pusat rujukan komuniti bagi merintis atau membuat prototaip projek mereka sebelum memasuki pengeluaran dan pasaran sebenar.

“Sebanyak 100 ekar tanah diperlukan yang mungkin mempunyai anggaran kos awal kira-kira RM5 juta,” ujarnya.

Lidam dalam pada itu, mencadangkan agar kerajaan membina kawasan perindustrian ringan bagi menyokong usahawan tempatan meningkatkan pembangunan sosioekonomi.

Ini tambahnya, akan menggalakkan penyertaan pembangunan perindustrian yang membantu mengurangkan pengangguran dan menambah baik status sosioekonomi.

“Minggu lepas juga saya telah melancarkan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) SEDC sebagai lanjutan daripada perkhidmatan ini sebaik sahaja tempoh penggunaan usahawan tamat selepas tiga tahun.

“Atas maksud itu juga saya memohon SEDC membina lot kedai atau lot industri bagi menampung keperluan mereka terhadap ruang tersebut,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru