Monday, November 28, 2022

Wanita GPS sokong keputusan Premier

Secara Rawak

KUCHING: Pergerakan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh keputusan parti itu dalam urusan pembentukan kerajaan campuran di peringkat persekutuan.

Pengerusinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keputusan Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari yang juga Premier Sarawak untuk menyerahkan pemilihan Perdana Menteri ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong sememangnya mendapat sokongan ahli parti.

“YAB Premier kita telah keluarkan kenyataan, saya percaya pihak media sudah menerimanya dan kami sebagai pergerakan wanita GPS kami menyokong kuat kenyataan yang telah diberikan oleh Premier dan kita sokong pendirian beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Pergerakan Wanita GPS bersama lima Ahli Parlimen wanita GPS di bilik media Dewan Undangan Negeri Sarawak dekat sini pada Selasa.

Dan senada dengannya, Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie yang menekankan pendirian GPS untuk menyokong ke arah politik nasional yang stabil.

“Bagi kita GPS, apa yang penting ialah politik stabil jadi mereka yang sebelah sana di Semenanjung Malaysia perlu menguruskan isu mereka lah.. yang penting bagi kita, kita mahukan Kerajaan Persekutuan yang stabil agar situasi negara kita aman, itu yang lebih mustahak,” katanya.

Sementara itu beliau mendedahkan ada berlaku penolakan di dalam GPS terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk membentuk kerjasama.

“Saya fikir bagi saya ialah DAP sebab di Sarawak ini DAP ialah pembangkang utama jadi saya faham kenapa sentimen macam itu ada.

“PAS pula disebabkan bagi rakyat Sarawak ini kita sangat berkompromi dan harmoni tidak kira agama jadi orang Sarawak melihat PAS sebagai ekstrimis jadi itu mungkin datangnya sentimen parti itu bersifat perkauman,” jelasnya.

Selain itu menurut Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang mengulangi pendirian GPS selama ini yang terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan kecuali DAP.

“Fokus kita adalah untuk kestabilan negara untuk kita berkhidmat kepada rakyat bagi memastikan segala isu-isu negara khususnya dari sudut ekonomi khususnya peluang pekerjaan, ekonomi, pembasmian (kemiskinan), pembangunan dalam negara ini dapat disusun dengan lebih teratur.

“Jadi pada pandangan saya kita sudah sepakat dengan apa yang telah dinyatakan oleh Premier kita bahawa bagi membentuk kerajaan dan memastikan kestabilan politik negara tanpa DAP,” katanya.

Untuk makluman GPS memegang 23 kerusi parlimen pasca PRU15 dan Abang Johari hari ini menyatakan pendirian GPS untuk menyerahkan keputusan pemilihan Perdana Menteri sekali gus kerajaan persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru