Friday, December 2, 2022

Penganggur wanita didenda RM6,000

Secara Rawak

KUCHING: Seorang penganggur wanita didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki 0.48 dadah jenis Nimetazepam pada Julai lalu.

Tertuduh Sofina, 30, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 0.48 gram di dalam tandas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak, kira-kira jam 6 petang, 18 Julai lalu.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 12 (3) akta sama.

Sandy menjatuhkan hukuman denda RM3,200 atau lima bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memasukan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara tiga bulan terhadap tertuduh serta di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara atau menjelaskan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru