Thursday, December 8, 2022

GPS parti yang patut dicontohi

Secara Rawak

BETONG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bersikap mesra dengan mana-mana blok parti yang wujud di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) Dr Bolhan Budeng memberitahu, sehingga kini Kerajaan Persekutuan masih gagal dibentuk walaupun selepas beberapa hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya yakin GPS sudah memikirkan semasak-masaknya untuk mengambil tindakan yang bijak agar bergabung dengan mana-mana pakatan yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Namun, untuk jangka masa panjang, GPS perlu mesra dengan mana-mana blok parti yang wujud di peringkat Persekutuan berikutan pakatan di sana boleh membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa blok dari Borneo.

“Apa-apa yang berlaku selain daripada perpecahan dan kegagalan membentuk Kerajaan Persekutuan sehingga kini patut menjadi pengajaran juga kepada kita di Sarawak.

“Bagaimanapun, GPS di Sarawak adalah satu parti yang boleh dicontohi kerana ia mewakili semua kaum dan etnik, dan sehingga kini, kita dapat hidup dalam suasana harmoni tanpa mengira perbezaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya tindakan wajar yang patut dilakukan oleh GPS dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan di sini,
semalam.

Jelasnya, kejayaan GPS menyertai mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan yang stabil, aman dan dinamik dapat menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak khususnya.

“Ini kerana Sarawak masih memerlukan kesinambungan pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak melalui projek pembangunan serta peruntukan pembangunan bagi memajukan Sarawak keseluruhannya.

“Justeru itu, untuk meneruskan pembangunan, GPS perlu bersama dengan pakatan yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Selepas PRU-15 selesai, Bolhan mengakui prestasi GPS semakin baik dengan pertambahan kerusi yang dimenangi berbanding PRU-14.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk (melibatkan GPS) akan memberi manfaat besar terhadap Sarawak terutama tuntutan hak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Antara Kerajaan (IGC).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru