Thursday, December 8, 2022

Ringgit dijangka terus mengukuh

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar AS minggu depan bergantung kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diumumkan pada Sabtu.

Prestasi unit tempatan itu juga dijangka bertambah baik susulan kenyataan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) baru-baru ini bahawa ia akan menimbang untuk memperlahankan kenaikan kadar pada bulan-bulan akan datang, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata beliau menjangkakan peniaga pertukaran asing tidak begitu mengambil kira kenyataan daripada Fed itu yang sepatutnya akan menyokong faktor makro dalaman dan luaran Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengakui risiko PRU15 agak sukar untuk diukur.

“Namun, apa juga keputusan PRU15, saya merasakan sebarang reaksi mendadak dalam pasaran ringgit akan mereda kerana pasaran pertukaran asing akan menumpukan kepada langkah-langkah yang akan diambil Fed dan pembukaan semula ekonomi China, yang menjadi pemacu positif kepada sentimen ringgit.

“Saya menjangka ringgit akan diniagakan antara paras RM4.54 dan RM4.57 kerana momentum dirasakan agak tertekan, menggunakan yuan sebagai penunjuk arah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, profesor madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kenyataan Fed itu tidak akan mengukuhkan lagi dolar AS berbanding mata wang lain dunia.

“Saya menjangka mata wang tempatan akan diniagakan antara paras RM4.50 hingga RM4.60 minggu depan,” katanya.

Pasaran ditutup pada Jumaat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan 18 dan 19 Nov sebagai cuti umum bagi memudahkan pengundi untuk mengundi dalam PRU15.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru