Saturday, December 3, 2022

ADB lulus pinjaman RM2,276 juta

Secara Rawak

JAKARTA: Bank Pembangunan Asia (ADB) meluluskan pinjaman berasaskan dasar sebanyak US$500 juta (US$1=RM4.54) untuk menyokong pembaharuan kepada perusahaan milik negara (SOE) di Indonesia.

Pinjaman itu akan merangkumi subprogram pertama di bawah Program Pembaharuan SOE untuk meningkatkan kecekapan, daya tahan dan tadbir urus korporat SOE, menurut ADB dalam satu kenyataan.

Program pembaharuan itu sejajar dengan hasrat kerajaan di dalam Pelan Hala Tuju SOE 2020-2024 bagi mentransformasikan SOE dan memastikan mereka menyumbang untuk menjadikan Indonesia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2045, kata bank itu.

Menurut ADB, bank pembangunan Jerman KfW akan menyediakan pembiayaan bersama dengan pinjaman 300 juta euro atau US$295.8 juta.

Indonesia yang merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara, memiliki lebih 100 SOE pada 2021, dengan gabungan aset sebanyak US$610 bilion, bersamaan kira-kira 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Mereka terlibat dalam sektor elektrik, farmaseutikal, perkhidmatan navigasi udara, pengedaran makanan dan perniagaan logistik.

Ia juga menyediakan sumber pendapatan yang besar untuk kerajaan melalui pembayaran dividen dan cukai.

Keuntungan bersih SOE yang disatukan meningkat daripada 13.3 trilion rupiah Indonesia kepada 124 trilion rupiah Indonesia (100 rupiah Indonesia=RM0.03) dari 2020 hingga 2021.

Pulangan ke atas aset meningkat kepada 1.4 peratus daripada 0.2 peratus manakala pulangan ke atas ekuiti meningkat kepada 4.5 peratus daripada 0.5 peratus.

ADB ditubuhkan pada 1966 dengan memiliki 68 ahli, yang mana 49 daripadanya berasal dari rantau ini, termasuk Malaysia. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru