Thursday, December 8, 2022

Premier: Tatau bakal terima limpahan ekonomi di Bintulu

Secara Rawak

BINTULU : Tatau bakal mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi di Bintulu dengan gelombang kedua pembangunan dirancang untuk industri hiliran minyak dan gas di Tanjung Kidurong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini loji metanol milik Sarawak sedang dibina di Tanjung Kidurong, dengan kilang kedua mungkin akan menyusul.

Menurutnya, Petronas dan Shell juga akan menubuhkan kilang pemprosesan gas masam di Tanjung Kidurong.

John Sikie berucap mewakili Premier Sarawak pada program ‘‘Sarawakku Sayang Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di Dewan Sukan Tatau.

“Di samping itu, Korea Selatan dan Jepun komited untuk membina loji bagi menghasilkan gas hidrogen yang akan dibeli semula oleh negara-negara berkenaan,” kata Abang Johari dalam teks ucapannya dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Datuk John Sikie Tayai ketika mewakili beliau pada program ‘Sarawakku Sayang Jaga Sarawak, Intu Sarawak di Dewan Sukan Tatau hari ini.

“Saya yakin jika semua projek ini dilaksanakan, penduduk di Tatau juga akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan projek-projek ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan masih banyak yang perlu dilakukan untuk memberi keselesaan kepada rakyat, khususnya mereka yang tinggal di luar bandar.

“Bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya dan Internet, bukan tidak ada, tetapi belum mencukupi.

“Pada lima tahun kebelakangan ini banyak peruntukan yang telah dibelanjakan untuk menyediakan bekalan air dan bekalan elektrik dan Kerajaan GPS berupaya menyediakan dana yang diperlukan kerana pendapatan negeri sudah ada peningkatan hasil daripada SST atau cukai jualan terhadap produk-produk petroleum.

“ Pada tahun ini pendapatan Sarawak mencecah RM10 bilion yang pada kebiasaannya berada pada sekitar RM5 hingga RM6 billion,”ujarnya lagi.

Tambah Abang Jo lagi, Sarawak juga mempunyai sumber dana alternatif daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh negeri ini, misalnya kawasan Ulu Rajang di bawah URDA yang diperuntukkan RM1.5 bilion untuk membina jalan raya dan menyediakan kemudahan-kemudahan lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru