Thursday, December 8, 2022

SE*Hebat galak perusahan sosial berkembang

Secara Rawak

LAWAS: Rangka Tindakan SE*Hebat Sarawak akan memastikan ekosistem untuk perusahaan sosial di negeri ini berkembang maju, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan berkata inisiatif itu akan memacu pembangunan inovasi dan kepelbagaian modal keusahawanan di Sarawak, khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana terutama perusahaan sosial.

Beliau menegaskan bahawa keusahawanan sosial (SE) kini semakin mendapat perhatian di Malaysia dan di peringkat global.

“Bagi memastikan bentuk perniagaan inovatif ini disepadukan dalam kalangan usahawan Sarawak, kementerian saya dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) telah bekerjasama dalam pelbagai aspek seperti penganjuran Program Transformasi SME Digitise, Go Digital, dan Hi-Tech (HTTPS),” katanya ketika melancarkan SE*Hebat Sarawak di Lawas baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa keusahawanan sosial adalah satu bentuk perniagaan yang mengutamakan impaknya terhadap isu sosial dan alam sekitar.

Terutama kepada masyarakat setempat di samping membolehkan perniagaan kekal mampan untuk pertumbuhan pesat pada masa depan.

Rangka Tindakan SE*Hebat Sarawak ialah rangka kerja rujukan bagi individu, komuniti atau agensi yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan sosial.

Awang Tengah menegaskan kepentingannya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kekal berdaya tahan semasa pandemik Covid-19 melalui kreativiti dan idea inovatif.

Malah ia selari dengan dasar ekonomi baharu Sarawak menerusi agenda ekonomi digital yang diperkenalkan oleh Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Sudarnoto Osman berkata pelan tindakan itu menggariskan empat teras strategik dan 31 strategi utama untuk mewujudkan ekosistem matang yang menyokong keusahawanan sosial.

Beliau berkata ia disesuaikan khusus untuk memenuhi keperluan Sarawak dan menyokong kepelbagaian budaya negeri, dengan penyelesaian untuk menguruskan isu tempatan memandangkan negeri ini berpotensi untuk menjadi kuasa besar di peringkat nasional.

Tambahnya terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan kerana Sarawak membentuk tujuh peratus daripada perusahaan sosial di Malaysia dan kebanyakan perniagaan tradisional cenderung ke arah menghasilkan impak dan bukannya hanya berorientasikan keuntungan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru