Thursday, December 8, 2022

Peluang pekerjaan baharu

Secara Rawak

SELARAS dengan impian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadikan Sarawak negeri maju melalui transformasi digital, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak berazam bergerak pantas seiring dengan impian itu.

Beliau bertekad menjadikan Sarawak negeri pertama mencapai bilangan telekomunikasi terbanyak dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Jelasnya, transformasi digital dapat mengubah masa depan rakyat Sarawak dan negeri ini dalam pelbagai bidang.

Banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan.

Transformasi digital meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan dalam perniagaan, pelaburan dan kewujudan syarikat baharu berteknologi tinggi. Perkhidmatan dalam talian yang lebih dekat dengan rakyat dan sektor perniagaan dapat disediakan.

Ketua Saintis dan Ketua Penasihat SMA Profesor Jack ‘Jagdutt’ Singh menjelaskan, ekonomi digital sebagai pasaran global, tersusun, didayakan, dan dipermudah oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi digital dan data.

“Ia sebenarnya aktiviti ekonomi yang dipandu oleh interaksi dalam talian antara orang ramai, perniagaan dan peranti mesin,” katanya.

Jelasnya, ia amat memerlukan organisasi untuk memikirkan semula model perniagaan untuk memaksimumkan nilai digital dengan membangunkan platform urus niaga dan perniagaan.

S Pay Global merupakan platform untuk memacu ekonomi digital di negeri ini. Katanya, secara purata ekonomi digital diramal menyumbang kira-kira 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia bernilai kira-kira AS$25 trilion.

“Sarawak menerima teknologi sempadan baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), 5G, Internet Kebendaan (IoT), penstoran awan, data raya analisis dan lain-lain yang akan menjadi pemacu teras pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Bagi Timbalan Ketua Saintis dan Timbalan Ketua Penasihat Kerajaan Negeri berkaitan ekonomi digital Profesor Ir. Dr Al-Khalid Othman, satu daripada aspek PCDS 2030 yang mesti diselaraskan dengan pendigitalan dan penerimaan revolusi perindustrian keempat (IR 4.0) ialah keperluan untuk menambah baik tenaga buruh melalui strategi pembangunan bakat.

“Bagi Sarawak mencapai status negeri maju, ia mesti menumpukan perhatian kepada latihan tenaga kerjanya dalam Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Untuk melengkapkan ekosistem platform sedia ada, pembangunan bakat terutamanya dalam bidang keusahawanan negeri ini disokong oleh program dan aktiviti dari Kampung Digital, tujuh hab inovasi dan 45 Pusat Komuniti Digital (DCC).

“Ini bagi memastikan tiada sesiapa yang akan ketinggalan dari segi pendidikan dan latihan kemahiran demi memperkukuh sosioekonomi mereka bagi masyarakat bandar mahupun luar bandar.

“Hanya selepas mencapai sasaran 60 peratus modal insan berkemahiran, barulah Sarawak boleh menjangkakan untuk mewujudkan 195,000 pekerjaan bergaji tinggi dan 1.5 juta peluang pekerjaan melalui PCDS 2030,” tambahnya.

Jelas Profesor Khalid lagi, pembangunan bakat Sarawak perlu menjadi pencipta pekerjaan dengan inovasi produk dan perkhidmatan untuk memastikan ia mempunyai kapasiti dan keupayaan pengeluaran sendiri, sekali gus meningkatkan KDNK dalam sektor tersebut.

Justeru, usaha Sarawak beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data dan inovasi penting untuk terus kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik serta tidak menentu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru