Pastikan tertubuhnya kerajaan stabil, cekap depani krisis ekonomi dunia – Fadillah

0
2

KUCHING: Pembentukan kerajaan baharu perlu cekap menyelesaikan kemelut politik negara serta memastikan kerajaan kekal stabil berdasarkan perlembagaan.

Calon GPS untuk Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga penyandang berkata, perlu Rakyat menilai sebaik-baiknya dalam usaha membentuk kerajaan baharu ini.

Menurut beliau, ketidakstabilan dalam negara menyebabkan kita berdepan cabaran besar ekonomi dunia yang tidak menentu sehingga tercetus krisis berterusan.

Berucap pada majlis Hi-Tea dan Kesyukuran bersama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Kuching, Fadillah mengimbau tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaa’kob yang telah mengembalikan kepada rakyat mandat membentuk kerajaan baharu melalui PRU-15.

Menurut beliau, tindakan tersebut bagi menyelesaikan kemelut politik dan mewujudkan kerajaan yang stabil untuk negara berdepan cabaran hari-hari seterusnya.

Fadillah turut melihat peranan besar dimainkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melalui Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS- 2030) untuk kepentingan masa depan ekonomi Sarawak.