Sunday, November 27, 2022

Lelaki tempatan didenda RM2,500, lupus dua telefon pintar

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan melupuskan harta curi dua buah telefon pintar jenama Redmi milik seorang wanita, Oktober lalu.

Tertuduh Muhammad Ivarn Raj Haicarl mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Sandy Yvette Freddy

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi dua buah telefon pintar jenama Redmi di sebuah kedai telefon di Batu Kawa, kira-kira jam 11 pagi, 16 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pada 16 Oktober lalu, sekitar jam 7.20 pagi, pengadu menyedari rumahnya telah dipecah masuk oleh orang yang tidak dikenali dan mencuri barang-barang peribadi milik pengadu.

Barang-barang yang hilang ialah, dua keping kad ATM, kad pengenalan, lesen memandu, dua keping Mykid, tiga keping emas public gold, wang berjumlah RM200, dan tiga unit telefon pintar jenama Redmi.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pada hari yang sama, sekitar jam 11 pagi, pihak polis berjaya menahan tertuduh selepas menjual dua unit telefon pintar dengan harga RM400 kepada seorang lelaki di sebuah kedai telefon di Pusat Beli Belah, Batu Kawa.

Hasil siasatan mendapati tertuduh dengan sengaja melupuskan harta curi dua unit telefon pintar milik seorang wanita berusia 32 tahun.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru