Thursday, December 8, 2022

Kerajaan Sarawak pertimbang kaji elaun guru Kafa

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula elaun yang diberikan kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) untuk membincangkan perkara tersebut.

Katanya, Sarawak mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk mewujudkan sistem pemberian elaun kepada guru Kafa dan guru terlatih menerusi institusi yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Mungkin nanti ada sistem kita sendiri untuk memberikan elaun kepada guru Kafa termasuk guru terlatih di bawah institusi yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Jadi sama-sama kita berdoa supaya dana Sarawak bertambah supaya dapat menambah elaun daripada Kerajaan Persekutuan kepada para guru Kafa.

“Saya akan kaji dengan Jais bagaimana kita boleh menambahkan sikit elaun sebagai satu ganjaran daripada sistem perkhidmatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Program Randau Belia Islam di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, semalam.

Terdapat kira-kira 35,000 guru Kafa di seluruh negara masih dibayar elaun serendah RM1,000 sebulan walaupun peranan mereka besar dalam mengajar pendidikan Islam kepada anak-anak untuk menjadi Islam sejati dan insan syumul.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru