Sunday, November 27, 2022

Lelaki pukul kenalan wanita didenda RM1,000.

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana bertindak mencederakan seorang kenalan wanitanya dalam satu kejadian pulang dari pusat hiburan, 7 November lalu.

Tertuduh Zuradi Arabi, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Maris Agan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 20 tahun di bawah sebuah hostel di Jalan Song, sekitar jam 3.10 pagi, 7 November lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, bertempat di bawah sebuah hostel, pengadu bersama empat orang rakannya yang pulang dari sebuah pusat hiburan, tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang dikenali menggunakan sebuah kenderaan jenis kompak.

Lelaki tersebut (tertuduh) terus memarahi pengadu kerana menegur rakannya yang mabuk supaya naik ke hostel.

Selain itu, tertuduh yang tidak berpuas hati lalu memukul pengadu menggunakan sebatang kayu namun sempat dihalang oleh rakan pengadu.

Tertuduh kemudian, bertindak agresif terus menumbuk bahagian mata kiri, menolak badan dan mengenggam tangan kanan pengadu serta membaling telefon pintar pengadu ke arah jalan raya.

Akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami lebam di mata kiri dan kesan biru di tangan kanan.

Bimbang akan keselamatan diri, pengadu tampil membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru