Calon atau parti yang diutamakan pengundi Sarawak?

0
2

SEPANJANG pilihan raya, selain manifesto, persoalan yang selalu dilontarkan selalunya mengenai faktor calon atau parti yang menjadi penanda aras pengundi dalam membuat keputusan di peti undi.

Sementara dalam institusi parti politik, anggota parti merupakan tulang belakang kejayaan parti politik itu. Kewibawaan anggota parti dituntut untuk membentuk kepimpinan dalam parti yang boleh menyerlahkan parti politik itu.

Parti juga wadah perjuangan yang sinonim dengan aspirasi individu, manakala perjuangan parti politik dijelaskan oleh visi dan misinya.

Maka, bagi individu yang ingin menjadi anggota parti, pasti sudah tahu serta yakin memilih mana-mana parti politik untuk dijadikan platform perjuangan.

Seseorang anggota parti atau pemimpin yang setia pada prinsip perjuangan, tidak akan meninggalkan parti, yang jelas visi dan misi perjuangannya.

Oleh itu, keanggotaan individu dalam sesebuah parti harus diteliti dengan baik, agar parti tidak menjadi cacamarba. Terjadinya senario “katak politik” pada pentas politik negara kita dua tahun kebelakangan ini, disebabkan kerakusan pemimpin untuk berkuasa.

Ini realiti dan bukan retorik yang dijaja oleh “katak politik” kononnya, tindakan itu dilakukan demi kepentingan rakyat. Keinginan berkuasa dan kepentingan peribadi “katak politik” lebih dominan daripada kepentingan rakyat.

Kini, pewartaan Akta Antilompat Parti yang berkuat kuasa awal September lepas, melegakan rakyat yang bakal memberi mandat kepada mana-mana calon yang bertanding pada PRU ini.

Jangan lagi pengundi dimomokkan oleh aktor politik yang keluar parti asal dan menyertai parti lain demi kepentingan kita sebagai rakyat.

Rentetan itu, persoalan besar yang menarik untuk dikupas adalah mengenai faktor calon atau parti yang dominan dalam mempengaruhi pengundi membuat keputusan dalam pilihan raya.

Kedua-dua faktor ini memang berlaku di sesebuah kawasan Parlimen. Tidak disangkal juga bahawa kedua-dua faktor ini saling melengkapi dalam sesetengah situasi di sesebuah kawasan Parlimen.

Kadang-kadang, kedua-dua faktor ini tidak menjadi pertimbangan dalam membuat keputusan, disebabkan fenomena kelesuan atau tidak berminat dengan politik.

Dinamika politik di Sarawak tidak sama dengan Semenanjung, yang menyaksikan perubahan drastik berlaku dari 2008 hingga kemuncak pada 2018. Dominasi politik oleh BN-Umno berjaya dileburkan oleh gabungan parti pembangkang sejak era Pakatan Rakyat (PR) sehingga PH.

Di Sarawak, parti PBB menjadi tunjang GPS yang menyerlahkan dominasi politik mereka. Dominasi politik ini lebih cenderung pada faktor parti berbanding calon. Sokongan akar umbi atau ahli parti tetap utuh bersama parti, tanpa mengira calon yang diketengahkan oleh parti politik.

Maka, pada PRU-15 ini, setelah berlaku pergolakan politik tanah air, sesetengah parti politik sudah berpecah. Ada sesetengah anggota parti yang tidak dicalonkan pada PRU ini, bertukar wadah untuk turut serta bertanding mempertahankan kerusi Parlimen yang disandang.

Persoalannya, adakah faktor parti atau calon akan menjadi pertimbangan rakyat akar umbi untuk membuat keputusan? Atau ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pertimbangan untuk membuat keputusan di peti undi?

Perkara ini boleh dilihat pada parti politik yang mengemukakan calon muka baharu di beberapa kawasan Parlimen.

Sudah pasti kita ingin melihat keputusan seperti Parlimen Arau di Perlis, Tanjong Karang di Selangor, dan bagi Sarawak, di kerusi majoriti Iban seperti Parlimen Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Julau dan Selangau.

Faktor calon atau parti atau kedua-duanya dapat dijadikan hujah dalam melihat pola pengundian di kawasan tersebut.

Apa-apa pun, calon atau parti politik harus mempunyai kredibiliti serta integriti dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga amanah serta mandat yang bakal diberikan oleh rakyat pada PRU ini.

Sikap empati atau cakna permasalahan rakyat harus menjadi kewajipan calon atau parti politik dalam mendapatkan mandat daripada rakyat.