Sunday, November 27, 2022

Bakar bendera politik antara sembilan laporan diterima polis

Secara Rawak

KUCHING: Membakar bendera parti politik antara sembilan laporan yang diterima polis Sarawak pada semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api berhubung bendera parti politik dibakar di Engkelili.

Sementara, katanya, tiga kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dengan merosakan bendera, sepanduk dan bahan kempen salah sebuah parti politik yang bertanding berlaku di Daerah Lubok Antu dan Serian.

“Empat lagi laporan polis yang diterima adalah laporan berkaitan tindakan yang diambil oleh pegawai penguat kuasa PRU yang telah menurunkan sepanduk kerana melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh SPR.

“Kes ini diserahkan kepada SPR untuk tindakan lanjut manakala satu laporan polis iaitu Tebakang Repot 472/2022 adalah berkait dengan Laporan Tebakang Repot 471/2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, polis Sarawak telah meluluskan sebanyak 198 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh Sarawak.

Justeru katanya, Pesuruhjaya Polis Sarawak menasihatkan parti politik yang bertanding supaya mengingatkan penyokong masing-masing supaya tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru