Thursday, December 8, 2022

Banduan pura-pura mati, mahu keluar sel

Secara Rawak

PATTAYA: Seorang lelaki yang ditahan atas tuduhan mencuri dilaporkan memalsukan kematiannya dalam cubaan melarikan diri dari selnya di Pattaya, Thailand menurut The Thaiger.com.

Bagaimanapun, banduan “mati” itu tiba-tiba bingkas bangun selepas pekerja penyelamat yang ragu-ragu dengan kematiannya meletakkan ammonia di bawah hidungnya.

Lelaki bernama Sayan yang berusia 53 tahun itu ditahan pihak polis kerana disyaki mencuri wang RM6,346 (50,000 baht).

Polis menemuinya bersembunyi di dalam bilik sewa dengan wang RM 5,077 (40,000 baht) bersama-samanya.

Polis berkata Sayan membelanjakan RM1,269 (10,000 baht) untuk “perempuan simpanan”nya yang turut bersama-samanya di bilik tersebut.

Menurut polis, Sayan dikatakan cuba menggantung dirinya di dalam sel dan suspek “tidak sedarkan diri” semasa ditemui pegawai perubatan.

Pekerja penyelamat mula melakukan CPR terhadap banduan itu, tetapi tidak lama kemudian mendapati Sayan mempunyai degupan jantung normal.

Ekoran itu mereka mengesyaki ia muslihat untuk melarikan diri dari penjara, dan bertindak meletakkan ammonia di bawah hidungnya.

Banduan itu bingkas bangun kerana terkejut terhidu ammonia.

Sayan bagaimanapun terus berpura-pura “pengsan” dan ” tidak sedarkan diri” sekali lagi.

Dia tidak mahu “bangun” biarpun pelbagai usaha dilakukan.

Pekerja penyelamat menggari Sayan ke pengusung dan membawanya ke Hospital Bandar Pattaya.

Empat pegawai polis menemani Sayan ke hospital untuk memastikan dia tidak cuba melarikan diri, lapor The Thaiger.com lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru