Wednesday, December 7, 2022

Rompak RM345, lelaki di Kuching masuk penjara 9 tahun

Secara Rawak

KUCHING: Padah rompak sebuah kedai runcit mini dengan mengambil wang tunai berjumlah RM345 dan beberapa bungkus rokok berjenama, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Addian Lois, 27, dijatuhi hukuman tersebut selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Hakim Maris Agan mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh selepas perbicaraan penuh hari ini.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 1.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang rakannya yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan di sebuah kedai runcit mini dengan mengambil wang tunai berjumlah RM345 dan bungkus rokok berjenama.

Mereka melakukan kesalahan itu di Pasar Batu 10, Kota Padawan, sekitar jam 9.45 malam, 11 November 2021.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang telah didatangi dua orang lelaki yang tidak dikenali menggunakan helmet, berbaju hitam dan berseluar denim.

Mangsa tiba-tiba diacukan sebilah pisau lalu mengambil wang tunai RM345 dan beberapa bungkus rokok lalu melarikan diri.

Selepas kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan, mendapati tertuduh melakukan kesalahan itu apabila mangsa dapat mengecam tertuduh yang bertatu kepala ayam di tangan kiri.

Selain itu, rakaman CCTV turut mendedahkan perbuatan kedua-dua lelaki tersebut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru