Pendidikan pelajar Islam di Sarawak perlu disatukan

0
8

KUCHING: Pembangunan pendidikan bagi pelajar Islam di Sarawak perlu diselaraskan bagi memastikan ia menepati piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan institusi pendidikan antarabangsa.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pendidikan Islam Majlis Islam Sarawak (LPPIS), Datu Dr Adi Badiozaman Tuah berkata kurikulum pendidikan di Sarawak perlu disatukan yang kini memiliki perbezaan antara dua organisasi.

“Satu ialah sekolah-sekolah yang di bawah jagaan kementerian pendidikan dan kedua ialah 15 jenis institusi pendidikan yang berdaftar dengan Majlis Islam Sarawak tetapi beroperasi secara bersendirian.

“Jadi kita ingin menjelaskan kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib bahawa majlis islam mengambil berat tentang perkara ini supaya kedua-dua institusi yang berada di dua organisasi besar itu tadi mempunyai standard yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Demak Jaya di sini pada Rabu.

Dalam kunjungan tersebut, Dr Adi bersama rombongannya yang turut disertai Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha memberi taklimat mengenai perancangan dan perkembangan LPPIS sejak ditubuhkan pada tahun lalu.

Menurutnya, ia bukan sahaja melibatkan penyediaan kurikulum tetapi pelaksanaannya serta latihan guru, dana dan penilaian berterusan selain pengiktirafan agensi bertanggungjawab.

Ia penting agar inisiatif yang dihasilkan itu bukan sahaja dapat diterima di peringkat tempatan tetapi di peringkat kebangsaan dan serantau khususnya dalam kalangan negara-negara Islam.

Dr Adi berkata pihaknya telah membangunkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz Sarawak yang tidak hanya menekankan aspek hafazan al-quran tetapi penguasaan bahasa Arab, Inggeris dan Melayu.

“Jadi kita ada sekolah yang 100 peratus pelajar Islam di bawah kementerian pendidikan jadi kita ingin melihat sekolah ini melaksanakan program yang dibangunkan oleh Majlis Islam Sarawak.

“Ini kalau sudah sampai ke tingkatan lima mereka boleh hafal 30 juzuk selain daripada menguasai juga tiga bahasa penting itu tadi.

“Perkara ini kita aspirasikan supaya anak-anak Islam pada masa akan datang apabila mengikuti kurikulum serta program sedemikian mereka mudah diterima oleh mana-mana institusi sama ada yang menggunakan bahasa arab sebagai bahasa pengantar atau inggeris dan juga bahasa kebangsaan, katanya.

Untuk rekod, seramai 160, 793 orang pelajar Islam di sekolah rendah dan menengah Sarawak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala 9,970 pelajar di bawah Majlis Islam Sarawak merangkumi 15 jenis institusi pendidikan, sekolah agama dan pusat tahfiz setakat 30 September 2022.