Sunday, November 27, 2022

Lelaki tempatan didenda RM3,400 gara-gara ganja

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki 8.82 gram ganja, Ogos lalu.

Tertuduh berusia 20 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu di tempat letak motosikal dalam sebuah bangunan rumah pangsapuri di Jalan Matang, sekitar jam 11.50 pagi, 29 Ogos lepas

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah menahan seorang lelaki di tempat letak motosikal bawah bangunan pangsapuri kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah.

Hasil pemeriksaan pada beg silang tertuduh menemui tiga peket lutsinar berisi daun kering yang dipercayai dadah jenis ganja.

Barang kes kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mengesahkan bahawa ia adalah dadah jenis ganja seberat 8.82 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru